Tuesday, 15 June 2010

Dr M setuju beri lesen pertaruhan sukan

Apa komen kome bila baca berita ni.. Hebat betul pejuang Palestine ni kan..Berhukum ikut kepala otak..

Sumber : Malaysiakini

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bantahan pembangkang terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah disebabkan ajaran agama, tetapi demi kepentingan politik semata-mata.

"Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.

"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.

Beliau mempersoalkan kenapa PAS lantang menentang judi sukan di negara ini kerana terdapat pelbagai lagi jenis judi lagi.

"Yang dia (PAS) kata tak boleh, (judi) sukan, bola sepak (sahaja). (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik dengan soal agama.

"Bagi PAS, agama adalah alat politik mereka," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir juga berkata masyakarat hendaklah mengakui, sama ada suka atau tidak, aktiviti perjudian memang berlaku di negara ini.

'Kalau Melayu berjudi, tangkaplah'

"Saya berpendapat bahawa ada lesen ataupun tidak, judi memang ada di negara kita ini kerana orang Cina memang suka berjudi.

"Tetapi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa," katanya menyokong cadangan kerajaan itu.

Tambahnya, orang Cina yang ingin berjudi tidak boleh dihalang bagi melakukannya kerana ia "hanya haram bagi orang Islam"

"Orang Islam jangan berjudilah. Kalau dia pergi berjudi, tangkaplah. Sama juga (bila) orang Islam tidak makan babi.

"Kalau orang bukan Islam hendak makan juga, itu hak dialah," katanya.

Ditanya tentang khabar angin kerajaan mahu melindungi hartawan Vincent Tan yang didakwa membantu Umno dalam pilihan raya, sambil ketawa kecil, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

"Tidak, Vincent Tan selama ini dia meniaga di luar negeri, di negeri Cina, di Vietnam, di Korea. Dia tak payah cari duit di sini," katanya.

NGO tak yakin pada Umno semata-mata

Tambahnya, lagi pun, Vincent telah mendermakan wang sebanyak 500 juta hasil penjualan Ascort Sport Sdn Bhd kepada kumpulan BERJAYA.

"Dan dana itu untuk semua orang, bukan untuk Umno.... Orang lain pun dapat. Saya fikir Vincent ini, bukan saja dia bagi duit pada Umno. Saya ingat dia bagi pada parti lawan pun sama.

"Saya ingat, (itu) hendak tentukan dia tak ada masalah (dengan dua-dua pihak). Orang perniagaan macam itulah, hati-hati, sebelah itu dia sokong, belah ini pun dia sokong," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan 45 NGO Melayu mengadakan perhimpunan di negeri itu hari ini, Dr Mahathir berkata ia menunjukkan mereka tidak lagi yakin kepada perjuangan Umno semata-mata.

"Mereka perlu menjadi kumpulan pendesak. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak disenangi oleh orang Melayu," katanya.

"Saya khuatir. Orang Cina nampaknya tidak hendak sokong BN lagi. Dan jika tidak juga dapat sokongan daripada orang Melayu, kemungkinan BN akan kalah."

[+/-] Show Full Post...

Monday, 8 June 2009

Di sebalik Ucapan Barack Obama Di Universiti Kaherah

Barack Obama telah menyampaikan ucapan yang ditujukan kepada masyarakat Islam sedunia pada hari khamis 4 jun. Beliau yang sampai di mesir pukul 9.10 pagi dan meninggalkan mesir pada pukul 6 petang telah memberi ucapan selama 45 minit di universiti Kaherah (cairo universiti).

Beri Salam dan baca ayat al-Quran

Beliau memberi salam setelah masuk ke dalam dewan. Sepanjang ucapannya beliau telah membaca tiga potong ayat al-Quran:


1. ayat 70 surah al-Ahzab:


يأيها الذين أمنوا اتقوا الله وقولوا قولا سديدا

“Wahai orang-orang beriman hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan berkatalah dengan kata yang benar.”


2. Ayat 32 Surah al-Maidah:


من قتل نفسا بغير نفس فكأنما قتل الناس جميعا

“Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana dia yang membunuh orang yang lain; seolah-olah telah membunuh semua manusia.”


3. Ayat 13 surah al-Hujurat:


يأيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا

“Wahai manusia sesungguhnya kami mencipta kamu terdiri dari lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu terdiri dari berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenal.”

Ucapan Obama cuba menunjukkan dia ingin menunjukkan kelainannya dari presiden2 amerika yang lepas. Dia cuba membina hubungan yang baru dengan dunia Islam dan cuba mencari simpati masyarakat Islam terhadap Amerika.

Kenyataan rasmi ikhwanul Muslimin terhadap ucapan Obama

Pada hari Sabtu 6 JUN laman web Ikhanul Muslimin telah mengeluarkan kenyataan rasminya terhadap ucapan obama. Secara ringkasnya ada lima point dalam kenyataan tersebut seperti berikut:

1. Sesungguhnya prinsip-prinsip umum yang disebut oleh Presiden Obama di dalam ucapannya seperti hak-hak kemanusian, perlunya ada perbincangan secara terhormat dan saling mempercayai dan yang lain-lain adalah perkara yang tidak ditolak oleh sesiapa pun.

2. Sesungguhnya ungkapan-ungkapan emosi dan bahasa diplomasi yang digunakan obama tidak merealisasikan keadilan dan tidak mengembalikan hak orang Islam yang telah rampas di Palestin, Iraq, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain negara Islam yang telah ditumpahkan darah orang Islam siang dan malam. Dimana ini adalah perancangan dan tipudaya dari kerajaan Amerika.

3. Kenyataan Obama yang menyatakan dokongan yang berterusan kepada orang Yahudi di palestin untuk mendapat keamanan dan menyatakan pejuang palestin tidak berhak untuk melawan penjajah zionis, menyamakan perampas dan orang yang dirampas haknya dan menyamakan pembunuh dan mangsa bunuh adalah menunjukkan bahwa obama menjejaki jalan Presiden2 amerika yang terdahulu.

4. Ucapannya yang panjang tentang masalah ekonomi, pengangguran, perlunya beri peluang kerja kepada pemuda-pemuda dan sebagainya adalah satu ucapan umum yang perlu kepada pemulihan politik sebenar. Adapun ucapannya tentang hak2 wanita dan pendidikan, ini adalah perkara yang telah diketahui oleh umat Islam melalui nilai2 dan prinsip Islam yang agung.

5. Cubaan untuk memujuk hati dan perasaan orang Islam dengan ayat-ayat al-Quran yang dibacanya, menyebut peristiwa dalam sejarah Islam, ucapannya tentang nilai-nilai toleransi, dan tamadun Islam yang memberi saham kepada kebangkitan serta kemajuan manusia tidak akan berjaya untuk mencapai tujuan disebalik ucapan tersebut. Ia tidak dapat menawan hati orang Arab dan orang Islam. Ini hanya keran satu perubahan kecil dari segi cara yang digunakan Amerika, sedangkan penggunaan jentera ketenteraan masih lagi berterusan di Afghanistan dan Pakista. Lebih-lebih lagi penjajahan terhadap Iraq masih lagi berterusan.

6. Ucapannya tentang seruan kepada demokrasi yang perlu ada di dalam Negara Arab dan Islam sedangkan dia memajamkan matanya terhadap kerajaan diktator dan sistem yang zalim yang berlaku diluar Negara2 Islam.

Oleh kerana yang demikian Ikhwanul Muslimin menganggap ucapan Ini hanya sekadar kempen untuk memulihkan hubungan yang membuang masa. Amerika cuba untuk mencantikkan rupa amerika yang dikotori dengan kezaliman, peperangan, jenayah permusuhan dan menumpah darah umat arab dan Islam diserata dunia terutama di Palestin.

Kesimpulan: Diatas adalah rumusan yang boleh didapati dari kenyataan rasmi ikhanul Muslimin. Bagi penulis, sepatutnya ke tiga ayat al-Quran tadi lebih terkena batang hidung Obama dan kerajaan Amerika. Ini kerana pertumpahan darah masih lagi berlaku di Iraq dan Afghanistan. Amerika hendaklah keluar dari Negara Islam itu demi untuk mereliasikan ucapan Obama. Amerika juga perlu mencabut senjata Nuklear Israel sebelum menyentuh projek Nuklear Iran. UMAT ISLAM INGINKAN PERLAKSANAAN BUKAN SEKADAR UCAPAN.

rujukan: Akhi Salman Maskuri

[+/-] Show Full Post...

Monday, 11 May 2009

Pertandingan Ratu cantik Islamik

Apa pandangan Syarak tentang Pertandingan Ratu Cantik. Di Malaysia ia pernah diharamkan oleh Bekas Allahyarham Mufti Selangor, Dato Ishak Baharom. Kalau Pertandingan seperti yang dilaporkan di bawah ini, saya yakin mungkin ianya akan diluluskan oleh institusi fatwa atau dikaji semula sekurang-kurangnya. Sila baca berita di bawah ini dan sama-sama kita kaji.

Sumber : http://www.hmetro.com.my

SUKAINA al-Zayer tidak mungkin berpeluang menang sebarang pertandingan ratu cantik kerana dia memakai purdah dan abaya yang tidak membolehkan orang menilai kecantikan wajahnya.
Dia juga mengaku bertubuh gempal.

Tetapi dalam satu-satunya pertandingan ratu cantik di Arab Saudi, hakim tidak mempedulikan bentuk tubuh atau kecantikan wajah. Apa yang mereka cari dalam pertandingan itu ialah 'Ratu Cantik Akhlak' di kalangan peserta yang berjaya menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat terhadap ibu bapa masing-masing.

"Matlamat peraduan itu ialah untuk mengukur komitmen peserta terhadap moral seperti yang dikehendaki Islam. Ia alternatif kepada ratu cantik lain yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya mengambil kira bentuk tubuh dan wajah wanita," kata pengasas peraduan itu, Khadra al-Mubarak.

"Yang menang tidak semestinya cantik. Bagi kami, yang penting ialah kemurnian hati dan moral," katanya.

Selepas pertandingan itu dirasmikan Sabtu lalu, hampir 200 peserta akan menghabiskan masa 10 minggu menghadiri kelas dan diuji dengan tema termasuk 'Menyedari kekuatan dalaman anda,' 'Pembentukan menjadi pemimpin' dan 'Ibu, syurga di bawah tapak kakimu.'

Tema terakhir itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW bagi menggariskan peri pentingnya rasa hormat kepada ibu bapa, antara tunggak utama dalam ajaran Islam.

Peserta juga akan menghabiskan masa sehari di sebuah rumah di luar bandar bersama ibu masing-masing. Di sana mereka akan diawasi oleh hakim wanita dan diberi markah mengenai cara mereka berinteraksi dengan ibu mereka," kata Khadra.


Memandangkan pertandingan itu tidak akan disiarkan menerusi televisyen dan tidak membabitkan lelaki, peserta boleh menanggalkan purdah dan abaya mereka.

Ratu Cantik Akhlak itu adalah contoh terbaru yang diubah suai oleh masyarakat Islam daripada format gaya barat yang bertujuan menyebarkan mesej dalam menangani pengaruh budaya kuning yang semakin merebak di rantau itu menerusi Internet dan televisyen satelit.

Satu rangkaian muzik Islam diwujudkan oleh seorang peniaga Mesir baru-baru ini bagi menyiarkan pertandingan ala 'American Idol' untuk penyanyi yang menyanyikan lagu berkonsepkan agama. Beberapa pendakwah juga sudah menjadi selebriti rancangan sembang ala rancangan yang dikendalikan Oprah, bertentangan dengan tradisi selama ini.

Kini, pada tahun keduanya, peserta pertandingan Ratu Cantik Akhlak itu meningkat tiga kali ganda daripada 75 wanita yang menyertainya pada 2008.

Pertandingan itu dibuka kepada wanita berusia antara 15 dan 25 tahun dan pemenangnya akan diumumkan Julai depan. Juara akan menerima hadiah RM10,000 sementara tempat kedua dan ketiga RM5,000 setiap seorang.

Pemenang tahun lalu, Zahra al-Shurafa berkata, pertandingan itu mendorong wanita muda dan remaja meningkatkan rasa hormat mereka kepada ibu bapa.

"Saya memberitahu mereka, menang bukan menjadi keutamaan. Apa yang penting ialah menghormati ibu bapa anda," kata Zahra, pelajar universiti yang mengambil jurusan Bahasa Inggeris.

Pertandingan ratu cantik memang diadakan di beberapa negara Arab dengan yang paling terbuka ialah di Lubnan, negara paling liberal di rantau itu dengan peserta muncul di televisyen berpakaian bikini, gaun malam yang glamor dan menjawab soalan yang menguji keyakinan serta pengetahuan am mereka.

Di Arab Saudi, pertandingan seumpama itu tidak wujud, malah diharamkan. Sebelum dimulakan Ratu Cantik Akhlak tahun lalu, pertandingan ratu cantik yang diadakan di negara itu hanyalah untuk kambing, biri-biri, unta dan haiwan lain, bertujuan menggalakan ternakan binatang di kalangan rakyat negara itu.

Acara tahun ini dimulakan Sabtu lepas di bandar Safwa yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah. Sebahagian besar peserta juga berfahaman Syiah.

Bagaimanapun, ia terbuka kepada sesiapa dan tahun ini, 15 wanita berfahaman Sunni menyertainya, kata Khadra.

Sukaina, 24, pelajar Pengurusan Antarabangsa, berkata, dia menyertai pertandingan itu kerana kasih sayangnya terhadap ibunya.

"Saya berbangga kerana menghormati ibu bapa saya," katanya.

Mengenai ratu cantik seperti yang diadakan di Lubnan?

"Ia masalah perbezaan budaya. Pertandingan yang diadakan di Arab Saudi diterima oleh Islam," katanya.

Seorang lagi peserta, Awsaf al-Mislim,berkata, jika tidak menang pertandingan itu, dia tetap yakin mencapai sesuatu yang lebih penting.

"Saya berbangga untuk menunjukkan kepada umum bahawa saya bersaing dengan peserta lain kerana kasih sayang kepada ibu bapa saya," kata peserta berusia 24 tahun itu.

[+/-] Show Full Post...

Friday, 8 May 2009

Soal Jawab: Selsema Babi (Swine Flu)

Dari Penulis : http://thesecretmedicines.blogspot.com/

Apakah penyakit selsema babi?
Seperti manusia, babi juga boleh mendapat selsema, tetapi virus selsema babi tidak sama virus yang dihidapi manusia. Selsema babi tidak menjangkiti manusia dan beberapa kes-kes kecil yang menjangkiti manusia pada masa lalu menunjukkan mereka mempunyai hubungan rapat atau direct contact dengan babi (seperti penternak babi).

Selsema babi yang sedang melanda Mexico, Amerika dan Kanada kali ini adalah berbeza. Ia disebabkan oleh virus baru yang merebak dari seseorang kepada orang lain - dan ia berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan terus dengan babi.

Apakah simptom selsema babi?
Simptom selsema babi adalah serupa dengan selsema biasa termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan keletihan. Selain itu, terdapat beberapa kes melibatkan muntah-muntah. Simptom-simptom ini boleh disebabkan pelbagai sebab biasa dan tidak semestinya selsema babi.

Bagaimana saya tahu ia adalah virus selsema babi?
Anda dan doktor tidak akan dapat mengetahui ia adalah virus penyakit selsema babi sehingga ia diuji di makmal. Setakat ini tidak ada cara lain untuk mengesahkan virus selsema babi selain di bawa dan diuji di makmal.

Jika saya menghidapi selsema babi, apakah yang saya perlu lakukan?
Jika anda mengalami selsema dan simptom-simptom di atas, jangan keluar rumah. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung anda dengan tisu. Selepas itu, buang tisu ke dalam tong sampah dan basuh tangan anda. Ia menghalang selsema anda dari merebak.

Jikalau anda selsema padahal anda sedang berada di kawasan atau negara yang berisiko tinggi seperti Mexico, anda dinasihatkan berjumpa doktor. Tetapi jika anda berada di negara yang tiada risiko selsema babi, anda masih boleh berjumpa doktor - itu pilihan anda. Sila maklum bahawa doktor tidak dapat memastikan sama ada anda menghidapi selsema babi, tetapi dia akan mengambil sampel dari anda dan menghantar kepada pihak berkuasa untuk diuji di makmal. Anda akan dimaklumkan jika disahkan mengidap selsema babi.

Bagaimana selsema babi merebak?
Virus baru ini boleh merebak mengikut kaedah biasa seperti selsema biasa. Anda boleh dijangkiti melalui sentuhan terhadap seseorang yang membawa virus ini, menyentuh objek yang telah disentuh oleh pembawa virus, kemudian melepasi tubuh anda apabila anda menyetuh mata anda, mulut atau hidung. Anda dinasihatkan sentiasa membasuh tangan walaupun anda tidak dijangkiti. Pembawa virus mula merebakkan virus sehari selepas simptom bermula.

Ia juga boleh merebak melalui udara jika pembawa virus batuk atau bersin tanpa menutup mulut dan melepaskannya bebas di udara.

Bagaimana selsema babi diubati?
Virus baru selsema babi sangat sensitif kepada dadah anti-viral iaitu Tamiflu dan Relenza. Tetapi tidak semua orang memerlukannya. Di Amerika, kebanyakan pesakit selsema babi yang terawal pulih secara semulajadi tanpa rawatan atau ubat-ubatan.

Adakah vaksin untuk mengelak virus baru ini?
Tiada. Tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengambil langkah permulaan untuk menghasilkan vaksin ini.

Saya telah disuntik vaksin selsema beberapa bulan yang lalu. Adakah saya dilindungi dari selsema babi?
Tidak. Vaksin selsema biasa tidak dicipta untuk virus baru ini.

Sejauh mana teruknya selsema babi?
Kesan virus selsema babi berbagai-bagai. Di Mexico, ada yang melibatkan kematian tetapi kes-kes awal di Amerika hanya melibatkan demam yang ringan. Tetapi ia boleh berubah sama ada menjadi lebih merbahaya atau tidak. Saintis masih lagi dalam kajian ke atas virus baru ini dan mereka tidak dapat memberi jaminan sejauh mana ia dapat dijangkakan.

Bagaimana saya boleh mengelak dari dijangkiti selsema babi?
Anda dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

* sentiasa membasuh tangan anda dengan air dan sabun, khasnya selepas batuk atau bersin.

* elakkan sentuhan secara terus dengan pesakit

* elakkan menyentuh mata, mulut dan mengorek hidung dengan tangan anda kerana virus akan merebak melalui rongga-rongga ini

* batalkan lawatan anda ke negara-negara yang sedang mengalami epidemik selsema babi seperti Mexico, Amerika, Taiwan dan Kanada.

* jika anda tinggal di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan ladang ternakan babi, jauhkan diri anda dari penternak dan pekerja ternakan babi tersebut. Jika mereka kawan anda, cukuplah berhubung melalui telefon.

* elakkan menyentuh objek-objek di tempat awam seperti butang lif, tangga escalator, bangku awam, telefon awam dan sebagainya. Jika tidak boleh, basuh tangan anda dengan sabun selepas menyentuh objek-objek tersebut.

* ambil langkah berjaga-jaga yang dinyatakan di atas dengan lebih teliti semasa berada di terminal lapangan terbang, stesen bas, kaunter awam, di dalam panggung wayang dan hospital.

Apa lagi yang perlu dilakukan?
Sentiasa mendapatkan maklumat terbaru di dalam komuniti anda. Negara anda dan Kementerian Kesihatan mungkin mempunyai maklumat penting jika selsema babi merebak di negara anda atau di negara-negara yang bakal anda lawati. Jangan panik, tetapi langkah berjaga-jaga adalah lebih baik.

[+/-] Show Full Post...

Thursday, 7 May 2009

Kedaulatan dan Globalisasi

Oleh Hishamudin Rais

Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini. Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini.

Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya? Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalsh bertransit di atas muka bumi ini.

Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan.

Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan.

Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.

Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepong di Tanah Besar China telah membubuh malamin dalam tepong untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri.

Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.

Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontrektor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah.

Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma. Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul dimerata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia.

Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, talipon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama. Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan.

Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabal-kabal Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.

IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antrabangsa.

Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabal Illuminati. Para banker yang telah mengumpulkan berbilon kertas dolar memerlukan pasarana pelaboran baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru.

Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabal Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga. Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, talipon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.

Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan.

Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antrabangsa.
Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan - Dunia Tanpa Sempadan.

Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.

Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini.

Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaboran antarbangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga. Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerbus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, talipon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.

Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mamoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.

Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanji an East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.

Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order.

Kabal-kabal Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strateji telah di rancang. Semua telah di susun. Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.

Lihatlah nanti bagaimana kabal-kabal Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaska kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.

New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NOW ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepali oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.

Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka.

Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya? Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat.

Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan. Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang.

Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strateji Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi.

[+/-] Show Full Post...

Tuesday, 5 May 2009

5 sasterawan negara tolak PPSMI

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Alasan-alasan itu, antaranya:

bullet buttonKebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

bullet buttonKegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

bullet buttonPenggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
Buang gelaran rasmi

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.

muhammad haji sallehSementara Muhammad (foto kiri) pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."

"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.

"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Surat kepada PM

Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.

"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.

"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.

Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Akan terus lawan

a samad saidA Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.

"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.

"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.

Pertikai meja bulat

anti ppsmi group pc 050509Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.

"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.

"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.

Kejutkan dunia sastera

ppsmi march 070309 crowd.jpgAwal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/103619

[+/-] Show Full Post...